Pages

Monday, March 9, 2009

Sabar Dengan Ujian

Abdul Kadir bin Abdul Aziz bertanya kepada Imam As Syafiee r.a. “manakah yang lebih utama : sabar atau diuji atau diberi keteguhan hati?” Jawabnya, “ Diberi keteguhan hati adalah darjat nabi-nabi. Dan tidak ada keteguhan itu melainkan sesudah diuji. Apabila sudah bersabar maka teguhlah hati. Tidaklah engkau lihat bahawa Allah Taala menguji Nabi Ibrahim a.s. kemudian Ia memberikannya ketetapan hati dan menganugerahinya kerajaan, maka ketetapan hati itu adalah darjat yang paling utama.”

LULUS DIUJI (UJIAN) PERLUKAN KESABARAN TEGUH HATI

Syeikh Mustafa Sabri iaitu ulamak sewaktu pemerintahan Othmaniah berkata:“Barang siapa yang berasa aman dari cubaan Allah nescaya akan hina.”

Maryah Jameelah seorang islam yang dahulunya seorang wanita kafir Yahudi berkata:“Menurut ajaran Islam hidup ini bukalah satu perjalanan yang penuh kesenangan akan tetapi ia adalah satu peperiksaan. Setiap minit kita diuji dan apa sahaja penderitaan dan bala yang menimpa kita bukanlah bencana yang mutlak akan tetapi hanya salah satu dari ujian tersebut. Allah SWT tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria akan tetapi untuk melihat kita sama ada berjaya atau gagal dalam peperiksaan ini yang mana keputusannya tidak kita ketahui hinggalah ke hari akhirat”.

Rasulullah pernah bersabda:“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu cubaan sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.”

(Dari Masnad firdaus oleh Dailami)Berkata Abul Asy’ats ash Shan’aani r.a. bahawa Nabi saw bersabda:Allah telah berfirman:“Apabila Aku menguji salah seorang dari hamba-hamba Ku yang mukmin, lalu ia memuji Ku atas apa yang telah Aku ujinya, nescaya Aku akan perintahkan kepada Malaikat Ku agar ‘Kamu catatkan pahala-pahala dari amalannya, seperti yang biasa kamu catatkan sebelum ini’”.(Riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim)

Berhubung ujian Allah, hayatilah firman Allah dalam surah-surah berikut bermula dengan surah Al Ankabut: 2-3:

2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Al Baqarah: 155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Al Kahfi: 7- Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Al Kahfi: 31- Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Hud: 7- Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air. Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! ...

Al An’aam: 165- Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

"Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu..Bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu...Bila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yg lebih baik untukmu...Oleh itu, bersangka baiklah dlm apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya..Semogakita mampu menempuhinya dgn penuh kesyukuran, ketabahan & keikhlasan.."

No comments:

Related Posts with Thumbnails